MB Johor Bukan Aibkan Mana-Mana Pihak – Adun Kota Iskandar

JOHOR BAHRU: Kenyataan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin menggesa Menteri Besar Johor, Datuk memberi sebarang teguran kepada penjawat awam secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial disifatkan menegakkan benang yang basah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, beliau menggesa pihak berkaitan melakukan semakan dan turun padang.

“Sebagai wakil rakyat di sini (DUN Kota Iskandar), saya juga kerap mengiringi Menteri Besar (Onn Hafiz Ghazi).

“Kami kena hadap keluhan dan komen rakyat, rakyat hubungi kami dan meletakkan tanda pagar di media sosial, sebagai pemimpin kita tidak boleh berdiam.

“Sekiranya tidak berkongsi masalah sebenar di sosial media, macam mana rakyat nak tahu, sekarang semua di hujung jari,” katanya.

Pandak berkata, dia yakin segala usaha Menteri Besar Johor bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak.

Menurutnya, sekiranya pentadbiran di CIQ baik dan lancar, rakyat juga akan menghargai jasa dan komitmen penjawat awam.

“Bukankah itu memberi impak yang baik terhadap perkhidmatan awam negara.

“Masa puncak CIQ untuk hari minggu pun tak tahu, Menteri Besar turun padang pada Ahad dan buat pengetahuan CUEPACS dan KPISM, waktu puncak hari bekerja dan cuti hujung minggu berbeza.

“Kalau hari bekerja, pagi dan petang sahaja akan sesak tetapi kalau hujung minggu, sepanjang hari sesak kerana ramai keluar masuk Johor-Singapura.

“Saya berpandangan Setiausaha Agung CUEPACS itu tidak benar-benar tahu masalah yang berlaku di pintu sempadan Johor,” katanya.

Semalam, CUEPACS menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam perlu dibuat secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial.

Perkara itu dinyatakan Abdul Rahman untuk mengelak timbul situasi sehingga tidak menggambarkan situasi sebenar.

Sementara itu, pada 26 Mac lalu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Ajeet Singh Gurbax Singh memuji usaha Onn Hafiz yang sering turun padang dan melawat BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

Bagaimanapun, katanya, Onn Hafiz juga perlu memberi tumpuan kepada isu rakyat khususnya membabitkan golongan B40.

Ahad lalu, Onn Hafiz meluahkan rasa kecewa apabila mendapati lebih 13 kaunter di laluan kereta tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan. –Berita Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia