Maybank dalam satu kenyataan berkata Ketua Kumpulan Perbankan Islam dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Muzaffar Hisham dilantik sebagai Ketua Kumpulan Perbankan Global manakala Datuk Mohamad Rafique Merican, kini Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan akan mengambil alih tugas Muzaffar.
Jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan akan diambil alih oleh Ketua Perbankan Global ketika ini, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata pelantikan itu yang melibatkan penggiliran portfolio bertujuan untuk mencapai tiga matlamat utama.
“Matlamat pertama adalah untuk mengukuhkan dan meningkatkan peranan baharu yang akan diteruskan dengan tanggapan mereka akan membawa idea baharu dan terus meningkatkan tahap perkhidmatan, manakala matlamat kedua berkaitan dengan pembangunan berterusan dalam kemahiran kepimpinan mereka yang dilantik, dan yang ketiga adalah untuk mengukuhkan barisan kepimpinan Kumpulan Maybank,” katanya.
Abdul Farid berkata ketiga-tiga yang dilantik telah memberi sumbangan yang kukuh dan berharga terhadap transformasi Kumpulan Maybank.
“Langkah ini akan memberi peluang kepada mereka untuk menyuntik perspektif segar ke dalam peranan baharu mereka.
“Penggiliran tugas ini juga akan membolehkan mereka meluaskan kemahiran, mendapat pengalaman berharga dan mengambil cabaran baharu dalam kerjaya mereka,” katanya. – Bernama