Masyarakat Sarawak, Sabah dilindungi perlembagaan

Beliau berkata istilah ‘lain-lain kaum’ yang diguna pakai dalam borang rasmi kerajaan, sebenarnya tidak merujuk kepada mereka, sebaliknya bangsa lain yang bukan pribumi.

Katanya, menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan dan keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah serta kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut perkara ini.

“Jadi, soalnya, di mana letaknya (kedudukan) orang Sarawak dan Sabah? Mereka bukan masyarakat lain atau pun lain-lain… mereka adalah setaraf dengan orang Melayu.

“Orang pribumi di Semenanjung dipanggil Melayu, manakala di Sarawak dan Sabah dipanggil Bumiputera. Jadi, Melayu dan Bumiputera adalah satu kelompok (kategori) di bawah masyarakat pribumi,” katanya kepada Bernama selepas program Martabat Adiwangsa anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dekat Gemas semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 16 April lepas yang dilapor sebagai berkata penggunaan istilah ‘lain-lain kaum’ bagi merujuk kaum Bumiputera Sarawak dalam semua dokumen dan borang rasmi kerajaan dimansuhkan, berkuat kuasa serta merta.

Ahmad Zahid berkata berkata perkara itu diluluskan oleh Jemaah Menteri baru-baru ini dan arahan turut dikeluarkan kepada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri untuk melaksanakan perkara itu.

Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata penggunaan istilah ‘lain-lain kaum’ hanya digunakan dalam dua konteks iaitu politik dan undang-undang.

Katanya dalam konteks politik, istilah orang Malaysia terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum.

“Sejak merdeka lagi, bangsa Melayu dikaitkan dengan Umno, Cina (MCA) dan India (MIC). Jadi, istilah Melayu, Cina, India itulah bangsa majoriti manakala yang lain-lain itu bermaksud selain daripada tiga bangsa ini.

“Maka ramai yang bertanya siapakah lain-lain itu? Jawabnya, lain-lain itu, bukan orang Sarawak dan Sabah. Jadi, jangan salah faham, istilah politik dan lain-lain itu bukan bermaksud orang Sarawak dan Sabah tetapi pecahan lain-lain bangsa di Semenanjung selain daripada Melayu, Cina dan India,” katanya.

Sementara dalam konteks undang-undang pula mengikut Perlembagaan negara, beliau berkata tidak ada istilah Cina atau India bagi mengelakkan perpecahan antara kaum.

“Acuan Perlembagaan ini tidak mahu kita dikenali dengan bangsa Melayu, Cina, India, kerana (ia akan menyebabkan) kita berpecah-belah… maka istilah digunakan ialah masyarakat atau komuniti.

“…Dan siapa dia masyarakat itu. Pertama Melayu, kedua Bumiputera Sarawak, Bumiputera Sabah dan yang ketiga masyarakat lain. Jadi, adalah salah bagi Sarawak atau Sabah yang mentafsirkan yang lain-lain itu, ertinya (merujuk kepada) mereka,” katanya.

Mohd Noor menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu, Bumiputera Sarawak dan Sabah tidak boleh diasingkan kerana kedudukan mereka adalah setaraf.

Katanya terdapat 38 suku kaum di Sarawak dan Sabah dan kesemuanya adalah masyarakat pribumi.

“Jadi, Melayu, Bumiputera Sarawak dan Sabah jangan diasingkan. Mereka itu adalah sama-sama masyarakat pribumi. Melayu adalah pribumi di Semenanjung manakala Bumiputera Sarawak dan Sabah adalah pribumi di Sarawak dan Sabah… sama taraf.

“Jadi, (memang) salah bila dikatakan masyarakat Bumiputera Sarawak dan Sabah adalah lain-lain (kaum),” katanya. – Bernama

Related posts

PRN Sarawak ke-11 telan belanja RM135.6 juta

Itu hak Adenan – Masing

Nazri umum peruntukan RM210,000 untuk 41 ranting PBB Pantai Damai