Mastura yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak, berkata arwah suaminya itu sebelum ini berhasrat untuk membangunankan pesisir Sungai Perak sehingga bertaraf antarabangsa.
Mastura berkata, beliau akan meneruskan agenda pembangunan Kuala Kangsar yang sudah dirangka Allahyarham Wan Khair-il.
“Allahyarham adalah seorang yang sangat suka dengan air dan sungai. Antara perancangannya yang belum tercapai ialah membangunkan pesisiran Sungai Perak di Kuala Kangsar ini secara besar-besaran,” katanya
Balu bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu mengakui beliau sering berbincang setiap perkara khususnya mengenai pembangunan di situ ketika Allahyarham masih hidup dan memahami isi hatinya yang begitu dekat dengan permasalahan rakyat kawasan berkenaan.
Justeru, katanya, keputusannya untuk menerima hasrat kepemimpinan parti agar beliau menjadi calon adalah didorong niat untuk meneruskan rancangan serta kerja-kerja arwah suaminya yang belum selesai, selepas berbincang dengan anak serta keluarga.
Mengenai kritikan beberapa pihak yang terus mempertikaikan pencalonannya kerana masih dalam edah, beliau berkata biarlah pengundi di Kuala Kangsar yang menilainya sambil menegaskan akan meletakkan hukum agama melebihi keutamaan lain.