Masih ada yang keliru dengan PAS – Mahfuz Omar

Menurut beliau, PAS tidak pernah keliru dengan pendirian mereka, sebaliknya Mahfuz berkata pihak Pakatan Harapan yang gagal untuk memahami pendirian mereka.

“Parti pembangkang masih harap PAS bersama mereka, sebenarnya Pakatan Harapan dan Bersatu keliru. PAS tidak keliru, kenyataan PAS amat jelas ketika menyatakan syarat dan pendirian parti itu,” katanya menurut laporan Sinar Harian Online.

Jelas beliau, jika pendirian PAS itu difahami secara tersurat, amat jelas PAS tidak bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak.

“Pemikiran pimpinan parti jelas belum bersedia bersama rakan-rakan dalam parti pembangkang, tidak perlulah membuang masa meminang atau memujuk Pas. Apabila PAS letak syarat sebegitu, bermakna mereka menolak secara baik,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Mahfuz berkata, jika PAS berminat untuk menjalinkan hubungan politik, sudah pasti mereka akan mengadakan rundingan terlebih dahulu sebelum meletak syarat sebagai panduan.

Menurutnya, PAS hanya mempunyai dua pilihan sama ada kembali kepada gabungan pembangkang atau mewujudkan kerjasama politik dengan BN untuk menghadapi PRU14.

“Tidak semestinya PAS sertai BN, cuma perlu ada kerjasama elak pertembungan antara PAS dan BN. Jika berlaku pertembungan tiga penjuru, UMNO akan merebut undi PAS, dan PAS juga akan rebut undi UMNO, ia tidak beri keuntungan kepada kedua-dua parti,” katanya.

Sebaliknya, sekiranya PAS-UMNO seiring, mereka akan dapat gabungkan kekuatan undi itu.

“Itu antara yang perlu difikirkan oleh PAS. Ini kerana mereka yang lari dari UMNO sokong Bersatu, yang lari dari PAS pula sokong Amanah, di mana mereka akan menyokong gabungan pembangkang,” katanya.

Mengulas sama ada PAS sengaja guna taktik membuat keputusan di saat akhir, katanya, tidak mustahil PAS masih bergelut untuk meneutralkan ahli parti itu yang agak tegar menolak UMNO.

“Mungkin sekarang dalam proses ubah minda ahli yang sebelum ini terikat pada amanat Presiden, Datuk Seri Abd Hadi Awang, supaya dapat menerima UMNO untuk elak masalah menjelang PRU14,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya masalah dalaman itu masih tidak dapat diselesaikan, PRU14 akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan PAS-gabungan pembangkang-BN.

“Gabungan pembangkang tanpa PAS dilihat lebih kuat untuk menang jika berlakunya pertembungan tiga penjuru,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri