MARA tanggung kos perubatan, bawa pulang Mohamad Sahar

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengurusan Charing Cross Hospital Barat London bersetuju memberi pelepasan dan kebenaran bersyarat untuk membawa pulang Mohamad Sahar pada Isnin ini.

Katanya, antara syarat ditetapkan ialah menyediakan seorang doktor dan jururawat serta peralatan perubatan termasuk alat bantuan pernafasan dalam pesawat.

“Oleh kerana Mohamad Sahar masih koma dan memerlukan perhatian rapi doktor dalam penerbangan, peralatan perubatan sama akan digunakan pihak hospital.

“MARA bersetuju menanggung kos kepada hospital dan membawa pulang beliau bersama doktor dan jururawat pengiring,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri, pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas rayuan ahli keluarga Mohamad Sahar yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Charing Cross Hospital selepas diserang angin ahmar.

Mohamad Sahar, 57, dilaporkan diserang angin ahmar sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada 4 Julai lalu ketika dalam perjalanan untuk menghadiri majlis graduasi anak perempuannya, Atikah yang menamatkan pengajian peringkat sarjana. – Berita Harian Online

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia