MARA akan tanggung kos perubatan Sahar sehingga selesai rawatan

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di samping itu, wang sumbangan orang ramai yang kini mencecah 55,000 pound (1 pound = RM5.21) yang dikumpul keluarga Mohamad Sahar turut akan digunakan untuk membantu menyelesaikan segala bil berkenaan.

“Sejak awal lagi MARA telah menanggung perbelanjaan di London termasuk bantuan deposit 30,000 pound semasa rawatan di hospital di sana dan kita akan terus membantu segala perbelanjaan di Kuala Lumpur sehingga selesai termasuk rawatan susulan selepas beliau dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Mohamad Sahar yang tiba kelmarin, di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) semalam.

Mohamad Sahar dilaporkan diserang angin ahmar sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada 4 Julai lepas ketika dalam perjalanan untuk menghadiri majlis graduasi anak perempuannya, Atikah, 27, yang menamatkan pengajian peringkat sarjana di Brunel University.

Sementara itu Atikah melahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia dan agensi terlibat termasuk MARA yang telah membantu membawa pulang ayahnya yang sebelum ini terlantar di Charing Cross Hospital.

“Kami sangat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang betul-betul prihatin sehingga viralkan kisah ayah kami di media sosial dan membuka mata pelbagai pihak untuk sama-sama membantu kami sekeluarga,” katanya.

Berkongsi peristiwa itu, Atikah berkata beliau dan kakaknya Amirah, 29, yang menuntut pengajian doktor falsafah di universiti sama mengambil masa setahun mengumpul wang daripada sebahagian elaun pengajian mereka untuk membawa ayah dan anggota keluarga lain menghadiri majlis graduasi itu.

Bagaimanapun beliau reda dengan takdir yang menimpa mereka dan berharap untuk membawa ayahnya sekali lagi menghadiri majlis graduasi kakaknya pula tahun depan.

“Selepas hadir majlis konvokesyen saya ada tunjuk gambar kepada ayah semasa di hospital dan dia beri respons dengan kelip mata dan genggam tangan saya. Malah saya turut merakam video majlis graduasi itu untuk beri ayah tonton selepas dia sembuh nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Bedah Otak dan Saraf PPUKM, Dr Farizal Fadzil berkata Mohamad Sahar kini berada dalam keadaan separuh koma namun masih stabil.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk menjangka tempoh Mohamad Sahar sembuh sepenuhnya, katanya. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia