Mantan CEO 1MDB perlu disiasat, kata PAC

Jawatankuasa di bawah Parlimen itu berkata, setelah penelitian yang dilakukan mereka, struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan kumpulan 1MDB adalah kurang memuaskan.

“Apabila menyemak laporan akhir Jabatan Audit negara dan menerima penjelasan 1MDB, secara rumusan PAC berpendapat bahawa terdapat kekangan dan kelemahan tertentu oleh pihak pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB,” kata jawatankuasa itu dalam laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikeluarkan pada, Khamis.

“Secara khusus, PAC berpendapat bahawa mantan CEO 1MDB, Shahrol Azral perlu mengambil tanggungjawab untuk kelemahan dan kekangan-kekangan tersebut.

“Oleh itu pihak agensi penguatkuasaan diminta untuk membuat siasatan ke atas Shahrol Azral dan sesiapa yang berkaitan,” kata laporan itu.

Dalam kenyataannya itu, PAC juga mengesyorkan agar lembaga penasihat 1MDB perlu dimansuhkan, bersama Artikel 117 dalam memorandum dan artikel persatuan syarikat.

“Segala rujukan kepada perdana menteri perlu ditukar kepada menteri kewangan, selaras dengan peruntukan syarikat lain kepunyaan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD),” kata laporan PAC itu.

Selain itu, PAC juga berpendapat, 1MDB seharusnya mengamalkan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik, penggunaan hutang yang berlebihan didalam struktur modal juga tidak boleh dibenarkan sama sekali, lebih-lebih lagi apabila aliran tunai syarikat tidak mencukupi.

Jawatankuasa itu juga turut mendapati lembaga pengarah 1MDB gagal melaksanakan tanggungjawab dan didapati tidak proaktif dalam meneliti aktiviti pihak pengurusan dan aliran tunai hadapan syarikat.

“Kawal selia yang lebih rapi diperlukan oleh lembaga pengarah, termasuk mempersoalkan harga belian aset dan kos hutang,” kata laporan PAC itu.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri