KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia mengumumkan pelantikan Manoharan Periasamy sebagai ketua pengarahnya yang baharu.
Ucapan itu dimuatkan di laman Facebook Tourism Malaysia, hari ini.
“Setinggi-tinggi tahniah Encik Manoharan Periasamy atas pelantikan sebagai ketua pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia,” kata poster tersebut.
Ucapan tersebut dibuat oleh Lembaga Pengarah Pengurusan & Kakitangan.Semakan di laman sesawang Tourism Malaysia memaklumkan Manoharan merupakan pengarah kanan promosi antarabangsa bagi rantau Asia dan Afrika.
Baru-baru ini Tourism Malaysia ‘hangat’ dengan isu ketua pengarahnya, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, yang diturunkan pangkat kerana prestasi tidak memuaskan.
Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata tindakan itu diambil selepas memberi tempoh sewajarnya untuk Dr Ammar memperbaiki prestasi dan merencana hala tuju bidang pelancongan negara.
Perkembangan itu menyaksikan Lembaga Pengarah Tourism Malaysia turut menyokong penuh hala tuju Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang melakukan perubahan dalam Tourism Malaysia.
Dalam satu kenyataan, lembaga pengarah itu berkata terdapat keperluan untuk sektor pelancongan melakukan perubahan ketara terutama dari segi kaedah mempromosi produk pelancongan negara.