Komitmen itu dinyatakan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dalam sidang akhbar sempena kunjungan Presiden Ukraine itu di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada Khamis.
Menurut Najib, kedua-dua negara komited untuk mendapatkan kebenaran supaya dalang di sebalik serangan itu dibawa ke muka pengadilan.
Katanya lagi, Malaysia dan Ukraine akan menunggu laporan penuh penyelidikan forensik mengenai penerbangan MH17 oleh Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) yang dijangka siap pada akhir tahun ini sebelum merangka tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Poroshenko berkata, dalang-dalang yang terlibat dalam nahas serangan pesawat tersebut perlu dibawa ke muka pengadilan sebagai penghormatan kepada mangsa-mangsa tragedi itu.
“Saya ingin merakam takziah kepada semua ahli-ahli keluarga mangsa yang menderita kerana serangan pengganas tersebut,” kata Poroshenko.
MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di ruang udara Donestsk pada 17 Julai 2014 dan terhempas di kawasan timur laut Ukraine berhampiran sempadan Rusia serta membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal. -Utusan Online