Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, perkara itu tidak akan terjadi seperti yang didakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam sebuah portal, pada Selasa.
“Sebenarnya Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching bertanya kenapa (Polis) lambat buat siasatan terhadap Ali Tinju (Pemimpin Gerakan Merah 1Malaysia, Mohd. Ali Baharom) berikutan ugutan yang dibuat Maria Chin Abdullah (Pengerusi Bersih 2.0)?
“Saya membalas balik, kenapa tidak menyuruh polis menangkap Maria Chin juga. Saya nampak dia cuba mempolitikkan isu ini.
“Kalau memberikan teguran membina, saya terima tapi kalau nak menjatuhkan polis dengan menuduh kita berat sebelah, itu tidak boleh diterima.
“Negara ini ada undang-undang dan tidak akan pernah menjadi negara polis kerana kalau tidak patuh undang-undang tetap dikenakan tindakan. Jadi bagaimana mahu menjadi negara polis kerana kami juga subjek (terikat) kepada undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Bersama Ketua Polis Negara: Peranan Mahasiswa Dalam Menangani Ancaman Keselamatan Negara di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP itu mempersoalkan sama ada Malaysia sudah menjadi negara polis kerana menyifatkan pihak polis tidak boleh ditegur sehingga Ketua Polis Negara dengan angkuhnya memberi amaran kepada Nie Ching, supaya menutup mulut hanya kerana bertanya mengapa siasatan lambat dibuat.