Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penerima akan menerima RM400 seorang melalui amil-amil yang dilantik bertujuan meringankan beban mereka untuk menyambut Hari Raya.
Baginda yang juga Yang Dipertua Maips bertitah ketika merasmikan Masjid Al-Falah, Behor Mempelam, di sini, malam tadi.
Pada majlis itu baginda turut melancarkan Kempen Ibadah Zakat dan Wakaf Maips melalui Perlis.FM (102.9MH).
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Khairi Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Zamri Khairuddin; dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Maips, Mohd Nazim Noor, turut hadir.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar umat Islam memanfaatkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan untuk memperbaiki diri dan beristiqamah dalam melakukan kebaikan.
“Mudah-mudahan Ramadan kali ini membuka lembaran baharu dalam hidup kita yang berusaha meningkatkan ketakwaan selain mengimarahkan masjid dan surau yang ada di seluruh negeri ini.
“Masjid adalah ‘nadi’ kekuatan umat Islam. Justeru, umat Islam seharusnya mengimarahkan masjid termasuk sebagai tempat mendidik anak-anak berjemaah menunaikan solat dalam membina kekuatan ukhuwah kaum Muslimin,” titah baginda.
Baginda turut memberi peringatan agar perbezaan pendapat politik tidak dibawa ke dalam masjid yang boleh mempengaruhi masyarakat Islam sehingga menjejaskan penganut Islam.
Tuanku Syed Faizuddin menasihatkan umat Islam supaya tidak membazir berbelanja dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa sebaliknya mengawal nafsu dan membeli sekadar keperluan sahaja.
Baginda berkenan menunaikan solat sunat tarawih bersama para jemaah yang hadir di masjid berkenaan – Bernama