Beliau berkata kempen yang dijalankan oleh syarikat tambang rendah AirAsia untuk menjenamakan klia2 sebagai LCCT2 menyalahi peraturan di bawah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Kita tidak boleh sesuka hati menamakan terminal, ia telah didaftarkan dan kerajaan yang menamakannya sebagai klia2, bukan MAHB,” katanya kepada media selepas menemani 108 anak-anak asnaf di sekitar Sepang membeli-belah keperluan raya di pusat beli-belah Alamanda, di Putrajaya semalam.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh menghalang mereka untuk menyebutnya sebagai LCCT2, itu adalah kebebasan bersuara, tetapi tidak boleh meletakkannya di tiket dan papan kaunter mereka,” katanya.
Mengenai rungutan kerosakan yang terdapat pada landasan dan kebocoran di klia2, Badlisham mengakui masih menghadapi masalah itu sehingga ke hari ini.
“Tetapi jika dibandingkan pada masa-masa lalu, kerosakan itu semakin berkurangan dan kami masih melakukan kerja pemulihan secara berterusan,” katanya.
Mengenai pelan pembangunan klia2, katanya pembinaannya dibuat hasil daripada perbincangan bersama pihak berkepentingan termasuk AirAsia sama seperti pembinaan Terminal Penerbangan Tambah Rendah (LCCT) dahulu.
“Lapangan Changi, Singapura dan Don Muaeng, Bangkok juga mempunyai terminal tambang murah, tetapi mereka tidak panggil terminal tambang murah. Mereka gelar terminal 1, 2 dan 3,” katanya. – Bernama