Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata ia beikutan keadaan yang sedang dihadapi bekas perdana menteri itu.
Ia katanya perkara itu bukanlah sesuatu yang amat mengejutkan atau memeranjatkan.
“Inilah apa yang kita panggil kepentingan politik. Ia jelas menunjukkan betapa terdesaknya Mahathir,” katanya menerusi blognya sskeruak.blogspot.my.
Jelasnya lagi Dr Mahathir juga mengetahui bahawa parti baharunya, Parti BERSATU tidak mampu melangkah jauh secara bersendirian.
“Jadi, beliau perlu menumpang Pakatan Harapan, seperti kapal angkasa yang memerlukan sebuah roket. Sebab itulah Mahathir cuba membina jambatan dengan Anwar – untuk memikat hati Pakatan.
“Mahathir akhirnya mengaku beliau sebenarnya tidak memiliki kekuatan untuk menjadikan partinya berjaya. Beliau perlu tumpang atas Anwar dan Pakatan.
“Perbuatan Mahathir berjabat tangan dengan Anwar hari ini samalah seperti apa yang berlaku pada 1998, sehari sebelum Mahathir memusnahkan Anwar. Kucupan Mahathir adalah kucupan maut,” katanya.
Mereka bertemu di Mahkamah Tinggi hari ini di mana Anwar mempunyai kes berkaitan Akta Majlis Keselamatan Negara. Mahathir memecat Anwar pada 1998 sebagai timbalan perdana menteri. Anwar juga dipecat daripada UMNO, petik Berita Harian.