Menurut kenyataan bersama mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akta berkenaan wajar ditolak pelaksanaannya oleh semua pihak bagi memastikan sistem demokrasi negara tidak terancam.
“Akta ini telah mengancam sistem demokrasi dalam negara. Kita perhatikan semua institusi-institusi utama negara seperti polis, SPRM, peguam negara dan Bank Negara telahpun dikuasai sepenuhnya oleh beliau.
“Akta ini juga menidakkan hak sesiapa yang terbunuh samada pegawai atau orang awam diperika (post moterm) untuk menentukan sebab-sebab kematian berlaku yang mana ada kemungkin yang besar terjadinya salah laku,” memetik kenyataan bersama yang diedarkan kepada media pada Isnin.
Susulan daripada itu, Mahathir dan juga Anwar yang sebelum ini pernah menjadi ‘musuh ketat’ berganding bahu bersama dan menyeru rakyat untuk menentang akta tersebut.
Akta MKN diluluskan di Parlimen pada 3 Disember tahun lalu dengan undi suara majoriti, tanpa sebarang pindaan.
Bagaimanapun, ia mendapat bantahan keras daripada wakil rakyat pembangkang serta beberapa NGO.
Antara yang menjadi kebimbangan ialah rang undang-undang itu dilihat akan menghakis kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.
Rang undang-undang itu antara lain, memberi Perdana Menteri, sebagai pengerusi majlis MKN, kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai “zon keselamatan” dengan hanya kelulusan anggota majlis itu.
Di bawah zon keselamatan, pasukan keselamatan akan dibenarkan untuk membuat tangkapan, mengawal pergerakan, menahan atau memindah suspek, menyita dan menggeledah, merampas atau memusnahkan harta serta mengetepikan inkues dikemukakan pihak berkaitan.
Tindakan mereka hanya boleh dicabar jika mahkamah memutuskan ia dilakukan dengan ‘niat jahat’.