MA63 bakal muktamad dua ahli baru

KUCHING: Dua ahli baharu dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) akan dimuktamadkan bulan ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, draf memorandum penstrukturan semula jawatankuasa sudah siap dan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Dari Sabah, kita cadangkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick, manakala untuk wakil Sarawak pula Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

“Walaupun saya sendiri (pengerusi jawatankuasa) dari Sarawak, tetapi saya perlukan seorang lagi menteri dari Sarawak untuk duduk dalam jawatankuasa itu dan membantu menjawab di Parlimen ketika saya tiada,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada warga emas dan orang kurang upaya kawasan Matang di Dewan SUPP Sungai Tengah di sini.

Menteri peralihan tenaga dan daya guna awam serta Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, penstrukturan itu disebabkan tiada lagi jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) yang sebelum ini disandang Datuk Armizan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rundingan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melibatkan tiga peringkat, iaitu Majlis Tindakan Pelaksanaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Peringkat kedua ialah jawatankuasa teknikal yang dipengerusi saya sendiri, manakala ketiga ialah jawatankuasa kerja diwakili semua pegawai kerajaan untuk membincangkan perkara asas.

“Jika ada isu tidak dapat diselesaikan di peringkat perkara asas, maka perkara itu akan dibawa ke jawatankuasa teknikal untuk kami putuskan dan akhirnya ke Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.” -Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia