Lesen 11 syarikat dibatal berkaitan pakej umrah

Beliau berkata lesen 11 syarikat itu dibatalkan manakala lesen pelancongan luar negara sebuah lagi syarikat ditarik balik.

Katanya selain itu, sebanyak 3,400 kes berkaitan penipuan pakej umrah difailkan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dengan nilai tuntutan kira-kira RM20.77 juta dalam tempoh yang sama.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula merekodkan sebanyak 216 kes penipuan pakej umrah atau haji dengan nilai kerugian kira-kira RM9.1 juta dalam tempoh masa sama.

“Semua kes ini melibatkan kegagalan agensi pelancongan mendapatkan visa umrah, tiada tiket penerbangan, pembatalan atau penangguhan pakej umrah serta pelanggaran terma dan syarat pakej umrah,” katanya kepada pemberita selepas Program Kempen Kesedaran Mengenai Penipuan Pakej Umrah/Ziarah dan Hak Kepenggunaan 2016 di Alor Gajah semalam.

Mas Ermieyati berkata dalam usaha menangani masalah penipuan umrah oleh syarikat pelancongan, kementerian melaksanakan pelbagai usaha seperti penganjuran kempen kesedaran dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, polis dan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).

Beliau berkata pihak kementerian turut mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara bagi mengawal penggantungan papan iklan melibatkan agensi pelancongan tidak berlesen yang menawarkan pakej umrah dan haji.

Katanya bagi mengelak ditipu orang ramai perlu prihatin dengan harga pakej yang ditawarkan kerana harga minimum pakej umrah ditetapkan MKSU adalah RM4,900 untuk tempoh 12 hari 10 malam.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata kementerian berhasrat memperluaskan konsep ‘kampungstay’ di seluruh negara bagi memberi keselesaan pada pelancong.

“Kementerian membenarkan pemilik homestay yang berdaftar dengan kita untuk memperluaskan lagi perkhidmatan homestay mereka kepada ‘kampungstay’. Justeru kita menggalakkan lebih ramai pemilik homestay berdaftar di bawah program ini,” katanya.

Katanya sehingga tahun 2015 hanya sebanyak 185 homestay berdaftar di seluruh negara dan jumlah tersebut masih belum mencukupi bagi menampung jumlah pelancong ke negara ini. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia