Lepaskan Anwar!

Dalam hal ini, Lim Kit Siang terus memberi respon mendakwa kenyataan Mahathir itu bukan persetujuan bersama pembangkang. Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai turut menyatakan bahawa Anwar Ibrahim yang kini berada di dalam penjara masih calon yang layak untuk menjadi PM Pakatan Harapan.

Baru-baru ini pula, Lim Kit Siang dalam satu majlis makan malam berkata selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan kes liwat Anwar, pembangkang perlu memilih PM dan TPM sementara bahkan calon yang paling sesuai ialah Wan Azizah dan Muhyddin. Apa yang dikatakan Lim Kit Siang ini adalah sekiranya pembangkang menawan Putrajaya di mana Wan Azizah sekadar PM interim.

Pada 21 Disember pula, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyeru pembangkang supaya berhenti bercakap mengenai calon PM bagi mengelakkan UMNO berpeluang membuat propaganda mengenainya. Sejak penubuhan PR pada tahun 2008 sehinggalah digantikan kepada Pakatan Harapan, calon PM sering gagal mendapat kata sepakat parti pembangkang.

Semasa era Pakatan Rakyat dahulu, walaupun PKR dan DAP menerima secara terbuka Anwar sebagai PM namun PAS senantiasa membisu seolah-olah enggan ‘mengiktiraf’ Anwar. Malah ada pemimpin kanan menyatakan pemimpin PAS yang baru adalah calon yang paling layak.

Hari ini, walaupun PAS sudah berpisah dengan PH namun PH bertambah satu lagi parti ‘saingan’. Jadi, dalam isu calon PM ini, PH tiada alasan untuk tidak berbincang terlebih dahulu dengan PPBM. Sama ada wujud perbezaan pandangan atau tidak seperti PR dahulu, ia satu perkara lain.

Hakikatnya, rayuan kes liwat Anwar sudah pun habis dan PH perlu menerima hakikat ini. Sebelum PRU tiba, calon PM perlu ada kata putus. Hal ini demikian kerana, menurut budaya politik Malaysia, keupayaan dan prestasi PM sangat penting untuk membawa pembangunan kepada negara seperti kata pepatah, ‘berjaya atau gagal sesebuah negara adalah terletak pada PM’.

Era Anwar menjadi pemimpin spiritual PH perlu dilepaskan. Jika pembangkang mahu mengambil alih pemerintahan daripada BN, PH perlu mementingkan negara dan rakyat. Dengan itu Anwar tidak lagi menjadi beban kepada pakatan lagi.

Tidak dapat dinafikan Anwar adalah pemula kepada era ‘reformasi’ namun tiada individu yang tidak boleh diganti kerana ‘pemimpin datang dan pergi’. Jika Anwar satu-satunya calon yang paling layak untuk PH, maka ini bermakna laluan pakatan pembangkang tidak akan pergi jauh.

Pada masa ini PH dan PPBM perlu duduk berbincang mencari kata sepakat berhubung calon PM yang diterima kedua-dua pihak dan bukannya memberitahu rakyat “apabila Putrajaya berjaya dirampas, Malaysia hanya akan ada PM sementara” kerana ‘PM yang sebenar’ perlu pengampunan YDP Agong terlebih dahulu. – Nanyang Siang Pau

Related posts

Kaedah pengiraan jatuhkan Najib

“Tugasan besar” DAP

Hadi Awang “Man of the year”