Lembu satu tan selamat disembelih

Proses penyembelihan lembu Charolais berusia tiga tahun itu yang tiga kali lebih besar daripada lembu biasa.

Ibadah korban itu disaksikan lebih 1,000 orang di tapak penyembelihan berhampiran Masjid Datuk Amar dekat Losong seawal jam 8 pagi pada Selasa.

Pakej korban lembu itu dijual pada kadar RM2,000 untuk setiap bahagian yang diuruskan oleh Badan Ukhwah Darul Iman (BUDI Losong).

Pengerusinya, Zulfadzli Hasan berkata, pihaknya memang berhasrat mahu‎ menyediakan lembu yang beratnya 350 kilogram dan ke atas.

“Kawan beritahu saya kalau hendak yang berat lebih 350 kilogram memang ada, tetapi harganya ialah RM16,000 kerana beratnya satu tan.

“Apabila kami pergi berjumpa peladang itu di Telemong, Hulu Terengganu, rupanya peladang itu adalah kawan saya. Dia bermurah hati beri diskaun dan menjualnya pada harga RM13,000 sahaja,” katanya kepada pemberita.

Video lembu yang dimuat naik dalam Facebook menerima view sebanyak 7,400 dan ia turut digelar sebagai lembu gergasi dan lembu sado oleh netizen.

Beliau berkata pihaknya menjangka dapat mengagihkan daging korban kepada 1,500 hingga 2,000 keluarga di sekitar Losong dengan agihan seberat setengah atau sekilo bagi setiap bungkusan.

Seorang kakitangan swasta dari Dungun, Wan Muhd Rihdwan Wan Zaki, 37, berkata beliau singgah di Losong untuk memberi peluang kepada dua anaknya melihat sendiri proses penyembelihan lembu korban itu sebelum pulang ke kampung isterinya di Besut.

“Meriah betul rasanya sebab semua orang berpusu-pusu datang hingga menyebabkan kesesakan berlaku di jalan utama. Kami turut merakam video dan gambar sebagai kenangan ibadah korban itu untuk ditunjukkan kepada keluarga kami di kampung kerana peristiwa seperti ini jarang berlaku,” katanya. – Bernama

Related posts

Kes Stokin Kalimah Allah, Polis Tingkatkan Kawalan Di Mahkamah Shah Alam Elak Ketegangan

Konvoi Sahur: Dua Maut Dirempuh Lori Kontena

Majlis Perbandaran BP Batalkan Operasi Syarikat Edar Stokin Kalimah Allah