Lelaki Maut Diseret, Digilis Lori, Anak Pula Cedera

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut digilis kenderaan berat manakala anak perempuannya cedera selepas motosikal ditunggang diseret lori dekat Jalan Sungai Tua, Selayang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 6.11 petang.

Bertindak atas panggilan itu, pegawai penyiasat telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum siasatan mendapati semasa kejadian sebuah lori dipandu lelaki berumur 52 tahun dalam perjalanan dari arah Sungai Tua.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan mendakwa telah mendengar bunyi kuat di bahagian belakang lori sebelum memberhentikan lorinya serta-merta.“Pemandu yang memeriksa di belakang lorinya terkejut selepas melihat sebuah motosikal tersepit bahagian bawah lori,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Noor Ariffin, akibat kejadian itu penunggang motosikal itu yang seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun telah mengalami kecederaan parah di kepala dan juga badannya.

Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi kemalangan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Manakala pembonceng motosikal yang dipercayai anak mangsa berusia lapan tahun itu pula mengalami kecederaan di kepala dan tangan.“Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau mahu orang ramai atau mana-mana saksi yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian kemalangan itu diminta berhubung segera dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 untuk membantu siasatan lanjut kes berkenaan.

Kes berkenaan sedang dijalankan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia