Dalam kejadian pukul 7.47 pagi, penunggang motosikal, Aznan Mohd. Lasim, 45, dari Sikamat di sini meninggal dunia di lokasi kejadian dengan tangan dan kakinya putus manakala kepalanya hancur digilis lori.
Difahamkan, pemandu lori terbabit melarikan diri sejurus kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda melanggar sebuah kereta Proton Iswara sebelum dia tercampak ke lorong kanan.
“Mangsa dari Sikamat menuju ke tempat kerja di Nilai telah melanggar belakang sebuah kereta rosak yang diletakkan di tepi jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan dia tercampak ke lorong kanan jalan lalu digilis lori yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, memetik laporan Kosmo Online.