Muhammad Firdaus Hamzah, 19, dan Norshahilla Ismail, 23, masing-masing memakai pakaian lokap berwarna jingga dan ungu, tiba di perkarangan Mahkamah Majistret pada jam 8.45 pagi dengan kawalan ketat polis.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama antara jam 11.59 malam pada 31 Oktober lalu hingga kira-kira jam 4.30 pagi 1 November lalu, di hadapan sebuah rumah di Jalan Kesang Laut, Batu 2, Tanjung Gading, Sungai Mati di Tangkak.
Mereka dituduh bersama menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki, Omar Miskam, 49, dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh pertama yang juga orang kelainan upaya (OKU) gagal memahami pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Maslinda Selamat, manakala tertuduh kedua mengangguk tanda faham.
Peguam bela tertuduh pertama, RK Balakrishnan, memohon mahkamah membenarkan anak guamnya menjalani pemeriksaan di Hospital Permai di Johor dan turut disokong Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain.
Mahkamah membenarkan tertuduh pertama dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk menjalankan pemerhatian dan pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah sehingga kes disebut semula.
Mahkamah menetapkan 22 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan turut mengarahkan tertuduh kedua melantik peguam bela, memetik BH Online.