Mangsa, Abrasin Marsuli, 79, ditemukan terdampar di kawasan pantai Iskandar Utara, Pulau Banggi, oleh penduduk kampung kira-kira pukul 9.30 pagi pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zubil Mat Som dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa dikatakan keluar memancing ikan seorang diri di perairan Dogoton pada pagi 24 September lalu dan dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah.
Katanya, Pusat Operasi Maritim Daerah Kudat menerima maklumat kejadian itu dari Balai Polis Karakit pada Ahad lepas dan beliau kemudian mengarahkan aset dari Pejabat Maritim Kudat (DM16) untuk ke lokasi kejadian.
“Operasi SAR ini melibatkan sebuah helikopter dan dua bot laju Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat, dua bot Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat, sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia dan beberapa bot dari penduduk kampung,” katanya.
Mohd. Zubil berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam memberikan bantuan kecemasan atau bencana serta meminta semua masyarakat melaporkan kepada APMM jika berhadapan dengan sebarang masalah di laut dan menghubungi MERS 999. – Bernama