Ditahan polis keluarkan perkataan jelik terhadap TMJ, pemuda UMNO yakin “Mat Tere’ diperalat

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berumur 29 tahun terbabit ditahan kira-kira 3.50 petang tadi di hadapan sebuah hotel di Jalan Pendek, Kota Bharu, Kelantan, selepas polis bertindak atas satu laporan, Selasa.

“Polis kontinjen Johor menerima satu laporan pada 1.25 tengah hari semalam (Selasa) berhubung penyebaran satu rakaman video melalui Facebook yang menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata jelik terhadap Tunku Mahkota Johor.

“Penyebaran video tersebut merupakan satu perkara yang boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Wan Ahmad Najmuddin berkata berikutan penahanan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, beliau berkata polis Johor menasihati orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa rakaman video bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan kenyataan untuk menyakiti hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

Beliau berkata pihaknya turut mengingatkan orang ramai bahawa polis tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, lelaki yang dikenali sebagai ‘Mat Tere’ ditangkap di bandar Kota Bharu yang ketika itu bersama rakan-rakannya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azam Ismail megharapkan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana dikategorikan tidak sempurna.

“Kami merayu dia tidak dikenakan tindakan undang undang berdasarkan dia dikategorikan sebagai individu kurang sempurna.

“Kami cukup yakin dia dipergunakan dalam isu ini memandangkan sudah beberapa kali dia menjadi viral video sebelum ini,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Ketereh. – Bernama/Sinar Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap