Lelaki Diserang Individu Tak Dikenali

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki memandu kereta sejauh tiga kilometer menuju balai polis selepas beliau diserang dan ditikam sekumpulan lelaki tidak dikenali berhampiran kolam ikan di Bandar Country Homes, Gombak, dekat sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu mangsa berusia 47 tahun yang dalam keretanya tiba-tiba diserang tiga lelaki dengan menggunakan senjata tajam.

“Mangsa berjaya lari menyelamatkan diri dan terus memandu keretanya menghala ke balai polis Country Homes.

“Polis mendapati mangsa datang ke balai berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dan membuat laporan di Balai Polis Bandar Country Homes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Noor Ariffin, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa yang mengalami kecederaan dibantu anggota polis bertugas sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut dengan menggunakan ambulans.

Tambah beliau, mangsa disahkan mengalami kecederaan bahagian tangan, belakang badan serta sebelah kanan bahu akibat kejadian itu dan lelaki itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Noor Ariffin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau benda yang berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut boleh menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222. – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia