Muhammad Shahrizal Azmi, 20, yang menukar pengakuan kepada bersalah itu diperintahkan oleh Hakim Zaman Mohd. Noor untuk menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap iaitu pada 17 April lalu.
Tiga lagi rakannya, Muhammad Hafiz Ibrahim, 19, Muhammad Rapi Munir, 20, dan Muhammad Syahidan Shamsudin, 20, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah mereka ketika kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 31 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa merompak dengan menggunakan sebilah parang terhadap Judiana Navamani Joseph, 26, dengan melarikan wang tunai RM466 dan 19 bungkus rokok pelbagai jenama yang keseluruhannya bernilai RM784.50 di kedai serbaneka KK Mart, Jalan Sentul, di sini, pada pukul 2.35 pagi, 29 Mac lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal sepatutnya mengendalikan perbicaraan terhadap semua tertuduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
Terdahulunya, peguam, Zulkifli Awang yang mewakili Muhammad Shahrizal memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya adalah pesalah muda dan ia merupakan kesalahan pertamanya.
Bagaimanapun, Amira Sariaty memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kekerapan berlakunya kes jenayah rompak terutama di Lembah Klang.
Sementara itu, Zulkifli yang turut mewakili tiga lagi tertuduh akan mengemukakan representasi agar Peguam Negara mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi kesemua anak guamnya itu.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 4 November untuk keputusan representasi itu manakala 11 Januari depan untuk perbicaraan kes, memetik Utusan Online.