KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang tergamak mencuri barangan kemas ibu mentuanya semata-mata mahu menyelesaikan hutang tertunggak, berjudi dan membeli dadah.
Suspek berusia 26 tahun itu dicekup di kawasan Taman Pandan Mesra dekat Ampang pada 12 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa yang juga ibu mertua suspek menyedari barangan kemasnya yang diletakkan di almari laci dalam bilik tidurnya telah hilang.
Malah, suspek turut tergamak menukar rantai leher emas kepada palsu menyebabkan mangsa kerugian RM30,000.Menurutnya, wanita itu mendapati gelang tangan emas miliknya tiada manakala, rantai leher emas miliknya ditukar kepada emas palsu.
”Susulan itu, polis menahan suspek yang tidak bekerja pada jam 6.30 petang, 12 Februari lalu.“Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek pertama itu membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 38 tahun pada 14 Februari lalu, jam lebih kurang 8.45 malam.
“Suspek lelaki kedua itu bekerja sebagai tukang masak di kawasan Sungai Buloh, Selangor yang berperanan sebagai pembeli barang kemas itu,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, semakan lanjut mendapati tangkapan pertama mempunyai dua rekod lampau bagi kesalahan dadah manakala, tangkapan kedua tidak mempunyai rekod lampau jenayah.
Katanya, ujian air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua tangkapan mendapati suspek tangkapan pertama positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine manakala, tangkapan kedua positif dadah jenis kanabis.
“Suspek direman antara 13 Februari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Sekyen 380 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Katanya lagi, motif kejadian adalah disebabkan suspek memerlukan wang untuk menyelesaikan hutang tertunggak motosikal, berjudi dan membeli bekalan dadah. – MalaysiaGazette