Kata Syed Atief, sekiranya cadangan RISDA menanam daun ketum dengan kawalan pihak berkuasa supaya ia tidak disalahguna adalah untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil, lebih baik mereka dibenarkan menanam kanabis (marijuana) yang lebih menguntungkan.
“Lebih baik dan lebih menguntungkan jika ditanam kanabis (marijuana) untuk pasaran eksport kerana harganya lebih tinggi sehingga mencecah RM50,000 sekilogram.
“Sebagai alternatif, opium (candu atau popi) mentah sewajarnya dipertimbangkan oleh RISDA kerana ianya mempunyai nilai pasaran sekitar RM12,000 sekilogram,” katanya sinis dalam satu kenyataan.
Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebelum ini bercadang untuk mendapatkan kebenaran kerajaan menanam pokok ketum bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada farmasi di Amerika Syarikat dan Eropah.
Mengulas lanjut perkara itu, Syed Atief menjelas dari segi manfaat kesihatan, sehingga kini tiada rekod yang menyatakan pengambilan kanabis boleh membawa kematian.
“Sehubungan dengan itu, saya mohon mencadangkan kepada pihak RISDA agar mempertimbangkan pengkomersilan tanaman kanabis dan opium yang dikawal dan dihadkan untuk pasaran eksport semata-mata.
“Tanaman ini tidak akan memberi kesan negatif kepada masyarakat tempatan kerana pihak Polis dan agensi penguatkuasa boleh mengawal sebarang bentuk penyalahgunaan secara menyeluruh sebagaimana cadangan awal berhubung penanaman ketum,” ujarnya.
Seorang pengeksport ketum di Indonesia memaklumkan bahawa harga eksport daun ketum yang dikeringkan seperti daun teh Cina atau diproses menjadi serbuk adalah antara RM200 ke RM300 sekilogram.