KUALA LUMPUR: Sejumlah 6.96 juta atau 84.3% pengguna kategori perumahan (residential) di Semenanjung tidak terjejas dan masih tidak dikenakan cukai perkhidmatan elektrik.
Namun, lebih kurang 15.7% atau 1.29 juta pengguna kategori perumahan yang menggunakan elektrik melebihi 600kWj akan mengalami kenaikan bil bulanan di antara RM0.01 hingga RM45.48 sebulan atau 0% hingga 1.66% sebulan dengan kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada 6% ke 8% mulai esok, 1 Mac 2024.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menyarankan pengguna merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.
Selain itu, pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui laman sesawang myelectricitybill.my.
Subsidi yang dilaksanakan secara bersasar ini merupakan antara pendekatan Kerajaan dalam memastikan subsidi diberikan kepada rakyat yang memerlukan.
Oleh itu, semua pengguna adalah digalakkan untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah melalui penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga.
Terdapat pelbagai cara mudah yang boleh dilakukan untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, antaranya melaksanakan audit penggunaan tenaga dengan cara memantau dan menganalisa penggunaan tenaga elektrik serta mengenal pasti peralatan, proses dan sistem yang boleh ditambah baik.
Selain itu, membeli atau menggantikan peralatan elektrik di rumah dengan menggunakan peralatan elektrik yang mempunyai penarafan 5 atau 4 bintang supaya ia dapat memberi lebih banyak penjimatan tenaga elektrik, serta melaksanakan penyelenggaraan secara berkala mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Pastikan suis ditutup apabila tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran tenaga elektrik dan menggunakan peralatan elektrik dengan lebih efisien, sebagai contoh menetapkan suhu penyaman udara pada suhu antara 24°C hingga 26°C.
Petra juga menasihatkan pengguna memanfaatkan pemberian e-rebat sehingga RM400 yang diberikan oleh kerajaan melalui program SAVE 4.0 bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga yang mempunyai penarafan 5 atau 4 bintang serta diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga; dan memanfaatkan program Net Energy Metering (NEM) GoMEn dan NEM NOVA sebagai langkah untuk meminimumkan kos bil elektrik
pengguna.
Kuota tambahan sebanyak 100MW untuk NEM Rakyat dan 300MW untuk NEM NOVA telah diumumkan oleh kementerian ini baru-baru ini. – MalaysiaGazette