Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mahasan Mustapa, berkata negeri ini dijangka dipenuhi kenderaan bermula Jumaat ini sempena permulaan cuti sekolah.
“Jalan akan mulai sesak dengan kemasukan kenderaan dari dua laluan utama iaitu menerusi Gua Musang dan Jeli.
“Kita harap pengguna dapat memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Kota Bharu, malam tadi.
Turut diraikan adalah 20 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Kelantan yang menerima sumbangan wang tunai dan makanan dari JPJ.
Mahasan berkata, sempena Aidilfitri kali ini, JPJ akan melancarkan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2016 yang bermula 29 Jun hingga 13 Julai di semua negeri.
Merangkumi tujuh strategi penguatkuasaan iaitu pemeriksaan bas ekspres di depoh, pemeriksaan bas ekspres dan pemandu di 25 terminal bas utama negeri dan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres.
“Selain itu operasi secara rondaan juga dilakukan di 106 lokasi lebuh raya dan jalan utama negeri dan penguatkuasaan penyamaran bergambar.
“Akhir sekali ialah operasi penguatkuasaan ke atas motosikal di 42 lokasi seluruh negara serta menjalankan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya di 22 hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya,” katanya.
Beliau berkata, JPJ sudah mengadakan pertemuan dengan pengendali syarikat bas untuk memaklumkan perkara itu dan meminta pihak mereka memberi kerjasama yang baik sepanjang operasi.