“Mereka memilih kaedah bermotosikal kerana kenderaan tersebut lebih menjimatkan kos dan masa perjalanan.
” Dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat, adalah amat tidak wajar untuk melarang para penunggang motosikal daripada memasuki pusat bandar.
“Sistem jaringan pengangkutan awam di KL juga masih belum menyeluruh dan efektif. Tambahan pula, kos tambang LRT dan Bas juga lebih tinggi berbanding menunggang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Tengku Adnan yang mesra dengan panggilan Ku Nan berkata, motosikal berkapasiti enjin kecil atau ‘kapcai’ mungkin dilarang memasuki Kuala Lumpur sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon.
Kata Ku Nan, pihaknya akan melaksanakan larangan itu sekiranya harga tambang pengangkutan awam berpatutan.
“Pada waktu siang, populasi (dalam bandar) meningkat kepada antara lima dan tujuh juta kerana pekerja berulang-alik ke tempat kerja.
“Kebanyakan bandar utama tidak membenarkan penggunaan motosikal ‘kapcai’,” kata Ku Nan lagi.
Justeru, kata Khairilnizam berkata, golongan pemuda adalah kelompok majoriti dalam kalangan penunggang motosikal.
“Sekiranya cadangan larangan ini dikuat kuasakan kelak, semestinya ia memberikan impak yang begitu besar kepada mereka khususnya yang berpendapatan rendah.
“Kami mendesak agar pihak kerajaan terlebih dahulu melaksanakan kajian komprehensif berkenaan sistem pengangkutan di KL bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu-lintas yang terpaksa dihadapi oleh warga kota pada setiap hari,” tambah beliau.
Walaupun mengakui peri pentingnya langkah pengawalan pelepasan karbon, katanya, cadangan melarang membawa motosikal kecil itu seolah bersifat diskriminasi kerana kenderaan lain seperti kereta, bas dan lori juga mengeluarkan karbon. -Malaysiakini