Menurutnya, keputusan itu dibuat sebulat suara dan konsesus oleh anggota PAC (yang anggotanya terdiri daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang).
Laporan PAC berkaitan 1MDB dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.
Hasan berkata, walaupun sepanjang 18 bulan, wujud pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap perdana menteri, setiap tuduhan telah disiasat oleh PAC.
“Hasil penemuan PAC bagaimanapun menjurus kepada kegagalan kronik terhadap proses yang sudah digariskan, peraturan dan prosedur, iaitu pengurusannya, dan bukannya kerajaan, perlu bertanggungjawab,” katanya dalam wawancara dengan Bernama di sini, hari ini..
Beliau berkata, pihak kerajaan sentiasa kekal dengan pendirian bahawa dakwaan dan tuduhan yang dibuat berkaitan rasuah, penyalahgunaan dana dan salah guna kuasa adalah palsu dan tidak berasas.
Jelas, sifat tidak berat sebelah PAC, keupayaannya untuk bersidang tanpa kehadiran media, orang awam dan kerajaan, adalah antara yang membolehkannya mencapai satu kesimpulan yang seimbang, tepat dan adil.
“Benar, memang berlaku perdebatan dan bantahan terhadap beberapa isu, namun kami akhirnya akan mencapai satu kesimpulan, sebagaimana boleh dilihat dalam laporan ini,” katanya.
Antara kesimpulan laporan itu semalam adalah tiada bukti untuk mencadangkan berlaku salah laku jenayah berkaitan penyalahgunaan dana atau berlaku transaksi pelaburan mahupun pelaburan atau mana-mana aktiviti 1MDB yang menjurus kepada aktiviti menyalahi undang-undang.
PAC juga tidak menemukan sebarang bukti untuk menunjukkan sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa oleh perdana menteri, berkaitan 1MDB.
Hasan berkata PAC juga mendapati bahawa RM42 bilion hutang 1MDB tidak ‘hilang’ sebagaimana tuduhan pelbagai pihak, kerana ia sudah dihitung dan tiada pembayaran dilakukan daripada 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri. – Bernama