Laporan audit 1MDB diklasifikasi bawah OSA

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, 67, berkata selepas berlaku kebocoran maklumat daripada laporan interim, Jabatan Audit Negara (JAN) menjangkakan laporan akhir audit 1MDB juga berkemungkinan dibocorkan.

“Saya sendiri sebagai ketua audit negara yang mengklasifikasikan laporan pengauditan 1MDB pada Januari lepas, selepas saya diberi kuasa di bawah Akta Rahsia Rasmi oleh perdana menteri Malaysia.

“Saya mendapat tahu hal berhubung kebocoran maklumat selepas pegawai saya menunjukkan salinan muka surat 98 dalam blog dan laman sosial Facebook yang mengupas isu mengenai 1MDB,” katanya pada perbicaraan hari keempat kes anggota Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli yang didakwa memiliki dan mendedahkan dokumen rasmi berhubung laporan audit 1MDB di sini.

Ambrin merupakan saksi pendakwaan kelima bagi perbicaraan kes itu.

Beliau berkata pengauditan khas terhadap 1MDB dibuat berdasarkan permintaan daripada PAC dan jemaah menteri, laporan akhir itu kemudian diserahkan kepada PAC.

Mohd Rafizi, 39, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Dia diwakili peguam Gobind Singh Deo.

Mohd Rafizi didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan pada masa sama, 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan bersambung esok.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia