Laporan 1MDB PAC tidak bebaskan Najib, kata Muhyiddin

Beliau sebaliknya berkata, laporan itu mendedahkan mengikut Artikel 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB, sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, Najib terbabit secara langsung membuat keputusan-keputusan penting berkaitan komitmen kewangan syarikat, termasuk pelaburan.

“Justeru, tidak hairanlah sepertimana yang dilaporkan oleh PAC, pihak pengurusan 1MDB banyak membelakangkan arahan Lembaga Pengarah syarikat dalam melaksanakan usahasama dan pelaburan kerana kuasa tersebut terletak di tangan perdana menteri.

“1MDB memerlukan RM3 bilion setahun untuk membayar faedah ke atas hutang sahaja. Dengan kebanyakan aset 1MDB telah dijual dan pelaburan yang mencurigakan, berkemungkinan besar kerajaan terpaksa menanggung segala hutang syarikat. Saya amat bimbang beban 1MDB akhirnya akan terpaksa ditanggung oleh rakyat,” katanya, memetik kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook miliknya.

Beliau berkata, dakwaan yang dilemparkannya terhadap Najib juga sebelum ini mempunyai asasnya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan PAC itu, ia mencadangkan agar Najib tidak sepatutnya terlibat dengan badan pelaburan kerajaan itu.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, beliau bernasib malang apabila Najib telah menghukumnya apabila beliau menyuarakan hal yang sama di dalam kabinet.

“Saya telah tegaskan dari awal lagi bahawa penubuhan 1MDB adalah tidak perlu. Dengan struktur modal hanya RM1 juta dan hutang RM42 bilion, model perniagaan 1MDB tidak mapan dan akhirnya menjadi beban kepada negara.

“Saya juga telah menasihati Najib supaya beliau tidak menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB kerana ia tidak wajar. Saya menyatakan agak luar biasa sebuah syarikat mempunyai Lembaga Penasihat,” katanya.

Malah, beliau turut menolak tindakan penyokong Najib yang mengatakan seolah-olah beliau dibebaskan oleh PAC berdasarkan laporan akhir tersebut

“Hari ini penyokong-penyokong Najib mencanang Najib telah dibersihkan oleh PAC dan meminta rakyat terus bergerak ke hadapan dengan melupakan episod hitam penyelewengan 1MDB. Mana mungkin.

“Berapa kali dalam laporan PAC disebut Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, iaitu Najib,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri