Lapan plaza tol itu melibatkan empat plaza tol di Lebuhraya Damansara Puchong dan empat lagi melibatkan plaza tol di Lebuhraya Senai Desara (SDE).
Plaza tol yang terlibat ialah Plaza Tol Penchala, Plaza Tol Petaling Jaya, Plaza Tol Puchong Barat, Plaza Tol Puchong Selatan, Plaza Tol Senai, Plaza Tol Ulu Tiram, Plaza Tol Cahaya Baru dan juga Plaza Tol Penawar.
Perkara berkenaan dimaklumkan Timbalan Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM), Sazally Saidi di dalam satu sidang media yang diadakan pada Rabu.
Menurutnya, langkah ini adalah sebagai satu inisiatif untuk menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik dengan tujuan membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang lebih lancar.
Jelasnya, untuk melancarkan operasi tol di semua plaza tol berkenaan, pihak konsesi lebuh raya akan menambah lapan Lorong Tambah Nilai yang beroperasi 24 jam.
“Pusat perkhidmatan pelanggan juga akan memanjangkan waktu operasinya dari jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari termasuk cuti umum bagi memudahkan pengguna.
“Kakitangan juga akan ditempatkan di lorong bagi membantu masalah yang dihadapi pengguna,” katanya di dalam sidang media tersebut.
Beliau berkata, syarikat konsesi lebuh raya terbabit akan menawarkan beberapa insentif kepada pengguna termasuk pengedaran 76,000 kad Touch ‘n Go secara percuma dan pengguna hanya perlu membayar nilai kredit RM5.
Selain itu, SmartTAG dijual RM104.95 seunit di LDP dan RM99 di SDE (termasuk cukai barang dan perkhidmatan enam peratus)serta pemberian rebat sebanyak 10 peratus selama dua bulan untuk kenderaan kelas 1 bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2017.
“Melalui data yang direkodkan pada Ogos 2016, sebanyak 93 peratus daripada 149 juta pengguna telah membuat bayaran tol secara elektronik menerusi Touch ‘n Go dan SmartTAG.
“Kami menjangkakan pada 2017, hanya sistem bayaran tol secara elektronik yang akan digunakan di semua plaza tol lebuh raya di seluruh negara,” tambahnya.