KUALA LUMPUR: Murid tahun lima SK Engkudu, Neelofa Entita Entegang, 11, ditemui selamat selepas lapan jam hilang dari sekolahnya, petang tadi.
Neelofa ditemui di kawasan kebun kira-kira satu kilometer dari sekolahnya dekat sini.
Kanak-kanak itu ditemukan oleh penduduk kampung pada jam 3.24 petang selepas kali terakhir dilihat pada jam 5.55 pagi di dalam kelasnya, ketika menunggu sarapan pagi.
Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, mangsa kemudian dibawa menaiki ambulans EMRS, dan dikejarkan ke Hospital Saratok untuk pemeriksaan selanjutnya.
“Pencarian dijalankan dalam radius tiga kilometer (km) dari lokasi terakhir mangsa dilihat iaitu SK Engkudu ke rumah panjang mangsa Rumah Bundak, Sungai Anak.
“Pada jam 3.24 petang mangsa telah dijumpai di kawasan kebun oleh penduduk kampung dalam jarak 1km dari SK Engkudu dalam keadaan selamat dan dibawa pulang ke rumah,” katanya.
Terdahulu kehilangan murid tahun lima itu dimaklumkan kepada bapanya, sebelum dilapor kepada pihak bomba pada jam 8.27 pagi.