Lantik TPM dari DAP, PAS ‘berat’ untuk kerjasama dengan PPBM

Pengarah Pusat Penyelidikan (PPP) PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata PAS memandang serius perkembangan terbaru wujudnya persetujuan antara PPBM dan DAP untuk menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kepada parti chauvinist itu.

“Sekiranya desas-desus ini benar, PAS diyakini akan bertindak tegas untuk tidak lagi mewujudkan apa-apa hubungan kerjasama dengan PPBM.

“Perkembangan terbaru ini sememangnya mengejutkan, dan PPP yakin ia akan merencatkan sama sekali siri pertemuan antara PAS dan PPBM untuk menjalin hubungan kerjasama.

“Buat masa ini, PAS sama ada melalui Majlis Syura Ulama (MSU) dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, belum membuat apa-apa keputusan untuk bekerjasama dengan PPBM,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Zuhdi, PAS menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menawarkan jawatan-jawatan utama dalam kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kepada DAP.

“Dengan perkembangan terbaru ini, iaitu adanya pakatan sulit memberi DAP jawatan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan, PPP yakin akan menutup terus ruang kerjasama antara PAS dan PPBM,” ujarnya.

Tun Mahathir sebelum ini mengesahkan DAP mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, hasrat itu disuarakan sendiri DAP yang mahu jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan berkenaan diserahkan kepada salah seorang pemimpin parti itu.

Bagaimanapun, beliau menafikan DAP mahukan jawatan Perdana Menteri kerana memerlukan undi daripada orang Melayu yang dilihat sukar berbanding mendapatkan undi kaum Cina.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri