Dengan kekayaan sumber kerajaan BN ditambah dengan pembangkang yang tidak bersatu, BN dilihat penuh dengan keyakinan. Apabila berlaku PRU kelak tidak kira PRU mengejut atau PRU yang cukup tempoh, BN terutamanya UMNO pasti menjadi pemenang terbesar.
Oleh itu, seandainya PM Najib bersedia untuk mengadakan PRU mengejut dalam tempoh 6 bulan ini, ia menjadi satu perkara yang tidak mustahil. Ketika ini langkah pembangkang masih tidak sekata. Terlalu banyak ‘simpul’ yang wujud dalam Pakatan Harapan serta PPBM. Percanggahan dan masalah ini hakikatnya tidak mudah diselesaikan dalam tempoh 6 bulan.
Jika BN mahu mengambil peluang, ini adalah masanya, lebih-lebih lagi dalam keadaan hubungan harmoni antara Malaysia dan China. Ia akan membawa peluang perniagaan yang tidak terhad kepada rakyat Malaysia. UMNO pula sudah tentu yakin dapat menundukkan Pakatan Harapan dan PPBM.
Cuma BN perlu mengumpul pandangan umum dan tidak sepatutnya mendengar khabar angin semata-mata. Sudah banyak kali perisikan pegawai tinggi kerajaan tidak tepat kerana mereka hanya melaporkan perkara yang baik dan tidak melaporkan perkara yang buruk.
Namun begitu, kenaikan harga minyak masak dan minyak petrol telah menyebabkan barangan naik berkali ganda dan menjurus kepada rasa tidak puas hati yang ketara dalam kalangan rakyat. Golongan pertengahan dan rendah benar-benar terkesan dengan keadaan ekonomi sekarang.
Jika kerajaan tidak mengambil langkah yang berkesan untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang yang berterusan, nescaya BN sukar menang pada PRU akan datang. Lebih buruk lagi apabila kehilangan lebih banyak negeri yang diperintah sebelum ini. Jadi, tidak perlu beranganlah untuk mendapatkan semula kerajaan Pulau Pinang dan Selangor. – Oriental Daily