Laluan sukar untuk BN di Sungai Besar

Oleh itu BN perlu menyusun strategi mantap dan terancang pada PRK itu nanti bagi memastikan kempen dapat dijalankan dengan sempurna.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN memasuki gelanggang PRK Sungai Besar dengan status ‘under dog’.

Beliau berkata BN hanya menang dengan majoriti 339 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sekali gus berdepan cabaran amat besar untuk mempertahankan kerus berkenaan.

“Sungai Besar berada dalam Selangor dan Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang tidak bersama kami (BN) pada peringkat Persekutuan. Justeru, beberapa tindakan mereka sekarang ini dan yang akan kita lihat tentunya tidak akan memberi kemudahan kepada kegiatan yang dilakukan BN di Sungai Besar.

“Jadi, saya dan Datuk Noh Omar (Pengerusi BN Selangor) serta presiden parti komponen BN yang memberi tumpuan di Sungai Besar ini mengambil beberapa tindakan supaya keberkesanan apa yang kita laksana akan beri keberhasilan yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penganjuran Program oleh Kerajaan Persekutuan di Parlimen Sungai Besar, di Putrajaya, hari ini.

Selain Noh, turut hadir ialah Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat itu diadakan supaya tidak berlaku pertindihan program dan kegiatan dirancang sepanjang tempoh berkempen di PRK Sungai Besar.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, sentimen pengundi Cina di Sungai Besar kini semakin memihak kepada kerajaan BN kerana sebahagian besar permintaan mereka sudah dipenuhi dan menerima baik dasar kerajaan sedia ada.

“Pengundi Cina sedar hak dan kepentingan mereka hanya terjamin di bawah BN dan mereka harus memberi sokongan padu kepada MCA untuk terus menjadi suara masyarakat Cina dalam BN,” katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Perak kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

Related posts

Jangan keterlaluan memuji saya – Budiman

Tiada sabotaj dalam BN kunci kemenangan besar

PAS harap undi protes untuk menang