Menerusi video berkenaan, Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 46, membawakan watak seorang suami sehinggakan terbawa-bawa emosi sedih selama beberapa hari.
“Saya rasa teruk ketika berlakon, saya sedar bukan seorang pelakon sehingga ketika berlakon muzik video ini pun saya terbawa-bawa emosi sehingga beberapa hari.
“Saya seorang penyanyi dan lebih bagus kalau saya fokus kepada bidang nyanyian sahaja. Saya tidak mahu fokus saya lari kerana berlakon,” ujarnya memerusi laporan mStar Online.
Sementara itu, bercerita tentang lakonanya dalam muzik video arahan Amor Rizan itu mengambil masa empat hari untuk disiapkan.
Katanya, dia juga berterima kasih kepada pelakon-pelakon yang terlibat seperti Sharifah Sakinah dan Puteri Balqis yang menjayakan muzik video itu dengan baik.
“Saya gembira sepanjang penggambaran tersebut berlangsung dan Alhamdulillah pelakon-pelakon lain turut membantu saya untuk menghayati watak itu dengan baik.
“Walaupun mereka tiada babak tapi mereka tetap ada di lokasi penggambaran untuk memberi semangat kepada saya,” ujarnya.
Menurut Anuar, muzik video yang berkisarkan tentang kecurangan isteri itu bakal mempunyai sambungan pada lagu seterusnya.
“Kisah itu belum berakhir dan ia akan bersambung pada muzik video untuk lagu yang lain pula. Ia adalah salah satu strategi promosi kami. Saya harap peminat bersabar menunggunya,” ujarnya.