Kurang 24 jam, Khairul pecah rekod baru pecutan 200m

Catatan 21.14 saat di pusingan separuh akhir acara 200m di Stadium Sarawak itu mengatasi rekod 14 tahun milik bekas pelari pecut negara berasal dari Terengganu, Nazmizan Muhammad iaitu 21.33s yang dilakukan di Sukma 2002 di Sabah.

Persembahan cemerlang Khairul Hafiz itu pasti menjanjikan sesuatu yang menarik di final yang akan diadakan pada pukul 9.30 pagi Jumaat.

“InsyaAllah…saya akan cuba buat yang lebih baik esok,” katanya kepada pemberita.

Atlet berusia 18 tahun dari Melaka itu pernah mencatat masa 21.01s di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh, sebelum berpuas hati dengan 21.15s di perlumbaan akhir untuk membawa pulang pingat perak.

Ketika ini rekod kebangsaan 200m masih milik Tan Sri M. Jegathesan iaitu 20.92s yang di catat di temasya Sukan Olimpik 1968 di Mexico.

Atlet muda itu kini menjadi sebutan selepas berjaya memecahkan rekod 100m 10.30s berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan baharu 10.18s pada Rabu.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Badrul Hisyam Abdul Manap turut layak ke final apabila menamatkan larian dalam masa 21.31s dalam saingan separuh akhir kedua, catatan yang turut mengatasi rekod Nazmizan.

Peserta tuan rumah, Jonathan Nyepa yang juga pemenang pingat perak acara 100m semalam, turut layak ke final dengan catatan 21.50s.

Turut menempah slot di final ialah Muhammad Solihin Jamali dari Wilayah Persekutuan, Mohd Ikmal Ismail (Perlis), Muhammad Aqil Yasmin (Selangor), Muhammad Haikal Hanafi (Negeri Sembilan) dan Tonga Jody Edmund (Sabah). –Bernama

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2