Ku Nan ingatkan ahli UMNO tidak sertai himpunan Tun Mahathir

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau menganggap perhimpunan itu lebih kepada satu onar untuk meruntuhkan sesebuah institusi demi mencapai matlamat peribadi individu tertentu.

Beliau berkata, perhimpunan itu adalah sekadar gerakan yang dicetuskan Mahathir bagi menjatuhkan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ada di kalangan ahli parti itu sendiri jika kehendak atau matlamatnya tidak tercapai atau tidak ditunaikan akan membuat onar sehingga sanggup meruntuhkan sesebuah institusi.

“Sekarang mereka cakap program itu bukan untuk (runtuhkan) UMNO, tetapi mereka mungkin lupa selama 70 tahun ini siapa yang mentadbir negara, bukankah Perikatan dan Barisan Nasional yang mana tulang belakangnya adalah UMNO,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Tengku Adnan ditemui selepas merasmikan Karnival Sukan UMNO peringkat Putrajaya sempena ulang tahun UMNO ke-70.

Ditanya bentuk tindakan terhadap ahli UMNO yang menghadiri perhimpunan itu, Tengku Adnan berkata perkara itu akan diteliti tetapi sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi UMNO sedia melepaskan mereka yang tidak lagi berminat untuk terus bersama parti dan kepimpinan sedia ada.

“Kita tidak suka ada ‘anai-anai’ atau gunting dalam lipatan dalam parti ini, kalau sudah tidak setuju, buka parti lain atau keluar dari UMNO. Kita tahu bagaimana nak jaga UMNO,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri