Sidang DUN Terengganu hari ini kata Ahmad Razif berjalan lancar tanpa sebarang permasalahan seperti yang dijangka sebelum ini.
“Keadaan kita terkawal, tidak ada apa-apa perkara berlaku.
“Saya yakin bahawa persidangan ini tidak ada apa-apa permasalahan dan keadaan politik Terengganu selesai, tiada masalah apa-apa.
“Yang penting sekarang kita bergerak ke depan untuk memastikan agenda pembangunan rakyat diutamakan,” katanya kepada pemberita selepas DUN Terengganu ditangguhkan.
Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini dikatakan akan membawa usul mendesak Ahmad Razif meletak jawatan.
Bagaimanapun, Ahmad Said tidak kelihatan sebaik sidang DUN disambung semula pada jam 11.20pagi.
Mengulas lanjut perkara itu, Ahmad Razif menegaskan beliau yakin dengan semangat yang dimiliki oleh ahli-ahli UMNO-Barisan Nasional.
“Apa-apa keputusan yang diambil mesti secara solidariti, muafakat. Kita akan bincang bersama sebab masalah ini bukan masalah saya sahaja, ini masalah parti dan kita akan bincang secara bersama.
“Saya penuh yakin bahawa semangat yang ada di kalangan pemimpin UMNO mengikut kepentingan parti, bukan peribadi. Perkara ini akan diselesaikan,” ujarnya.