Bagaimanapun LRA telah dibuka semula operasinya kira-kira pukul 9.30 pagi ini selepas ditutup selama 13 jam ekoran kejadian pencemaran itu manakala LRA Cheras yang turut ditutup kira-kira pukul 10 malam tadi masih belum beroperasi setakat ini.
Ekoran kejadian itu, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, sebanyak 299 kawasan di Kuala Lumpur dan dua daerah di Selangor iaitu Petaling dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air disebabkan penutupan LRA Langat dan LRA Cheras.
Kejadian itu merupakan yang terbaharu selepas LRA Semenyih terpaksa ditutup empat kali baru-baru ini sehingga beberapa kawasan di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air.
Selasa lalu, sebuah premis di Batu 22 1/4 di Jalan Sungai Lalang, Semenyih, disita kerajaan negeri selepas dikenal pasti menjadi punca pencemaran Sungai Semenyih.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong berkata, LRA Langat dibuka selepas pihaknya mengambil langkah mengalirkan sumber air dari Empangan Langat masuk ke LRA itu bagi memastikan bekalan air pengguna tidak terputus.
“Kita lepaskan sumber air dari Empangan Langat masuk ke LRA Langat bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna. Bagi LRA Cheras, kita jangkakan dapat membukanya secepat mungkin selepas kita alirkan air dari Empangan Langat tetapi ia mungkin akan mengambil sedikit masa.
“Buat masa ini, kita meminta Pahang menutup aliran air masuk ke LRA Langat dan LRA Cheras sehingga keadaan pencemaran Sungai Semantan kembali pulih,” katanya ketika ditemui di Istana Alam Shah, pada Sabtu.
Semalam Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, LRA Langat ditutup pada pukul 8.30 malam manakala LRA Cheras ditutup pada pukul 10 malam akibat pencemaran bau yang disyaki dari Sungai Semantan di Pahang.
Katanya, pasukan pemantauan sungai Air Selangor telah berada di Pahang sejak semalam bagi membantu Badan Kawalselia Air Pahang dan Jabatan Alam Sekitar Pahang mengenal pasti punca pencemaran di sungai tersebut. – Utusan Online