KPWKM Dedah 133 Kanak-Kanak Tiada Identiti Ibu

PETALING JAYA: Seramai 133 daripada 1,474 kanak-kanak bawah jagaan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak diketahui identiti ibunya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, daripada jumlah itu 43 terdiri daripada warganegara, 67 belum dikenal pasti dan selebihnya berstatus bukan warganegara.

Justeru, JKM telah mengemukakan permohonan daftar lewat kelahiran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk kanak-kanak bawah jagaannya yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Kerjasama dengan JPN adalah untuk membantu kanak-kanak mendapatkan sijil kelahiran,” menurut KPWKM dalam jawapan bertulis pertanyaan bukan lisan Dewan Rakyat.

Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) meminta KPWKM menyatakan bilangan kanak-kanak yang dijaga di rumah anak yatimnya, bilangan kanak-kanak yang identiti ibunya tidak diketahui serta status kewarganegaraan mereka.

KPWKM berkata, ketika ini JKM mengendalikan 37 institusi kanak-kanak terdiri daripada rumah kanak-kanak, sekolah tunas bakti, asrama akhlak dan taman seri puteri.

“Adalah menjadi harapan KPWKM agar semua kanak-kanak yang berada di institusi JKM mendapat sijil kelahiran,” katanya.

Pada 18 Mac, kerajaan Sarawak menggesa Putrajaya memberikan kerakyatan secara automatik kepada kanak-kanak terabai yang berada bawah jagaan JKM.

Langkah ini penting demi menjamin masa depan kanak-kanak berkenaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat Sarawak Fatimah Abdullah.

Kerajaan berdepan tentangan selepas mencadangkan lapan pindaan terhadap peruntukan kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk pemberian kerakyatan kepada kanak-kanak tidak bernegara.

Pelbagai kumpulan mengkritik cadangan pindaan itu kerana dilihat mungkin menyukarkan permohonan kerakyatan bagi kanak-kanak tidak bernegara dan terdampar.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan anak terdampar masih boleh didaftarkan sebagai warganegara asalkan kelahiran mereka didaftarkan sebaik mereka ditemui.

Menurutnya, anak terdampar yang lebih besar juga boleh memohon kerakyatan mengikut Seksyen 15A Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan Putrajaya “kuasa khas” untuk mendaftarkan sesiapa yang berusia bawah 21 tahun sebagai warganegara dalam keadaan khusus tertentu. -Free Malaysia Today

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia