KPM Sedang Teliti Dasar Buku Negara Sebelum Dilancar Tahun Hadapan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti Dasar Buku Negara (DBN) sedia ada supaya dasar baharu yang ditambah baik dapat dilancarkan pada tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata jawatankuasa bagi mengkaji DBN yang baharu itu sudah memulakan usaha ke arah itu dengan beberapa elemen khusus akan diambil perhatian dalam mendokong pembudayaan membaca secara menyeluruh, selain menggiatkan aktiviti penerbitan.

Beliau berkata, dasar sedia ada sudah diwujudkan sejak 27 November 1985 dan perlu ditambah baik serta diperkasakan mengikut keperluan semasa dan masa hadapan.

“Kita mahu semua elemen itu diteliti bagi memastikan ia relevan dengan perkembangan semasa, jadi saya fikir ada keperluan KPM meneliti DBN yang ada sekarang,” katanya dalam ucaptama pada Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu dan melancarkan Buku Kanak-Kanak dan Remaja di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.

Fadhlina berkata, dasar sedia ada diperkenalkan hampir 39 tahun lalu dan memerlukan semangat baharu untuk diteliti semula bagi disesuaikan dengan konteks hari ini.

“Kita sedang melihat keperluan (dasar baharu) itu secara tuntas. “Sebab itu, jawatankuasa berkenaan sudah digerakkan dan kita harap dapat memuktamadkan penelitian semula DBN untuk 2025,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM2 juta dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) bagi menggalakkan penerbitan buku kanak-kanak.

“Sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, beliau mendokong penuh agenda memperkukuhkan bahan membaca kanak-kanak.

“Maka dengan gerakan penerbitan buku kanak-kanak ini, ia satu inisiatif dan insentif penting untuk penulis serta penerbit menggerakkan penerbitan buku kanak-kanak dalam usaha kita memperkukuhkan budaya membaca golongan itu.

“Penerbit berkelayakan boleh memohon dan menyediakan cadangan penerbitan kepada DBP dan ada jawatankuasa yang akan memastikan buku dan penulisan berkualiti dipilih bagi menjadikannya sebahagian daripada penerbitan penting untuk pembacaan kanak-kanak,” katanya. –Berita Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia