Kekalahan mengejut pemain No. 1 dunia, Chen Long kepada Son Wan Ho menjadi punca utama kekalahan China, dan kebangkitan yang cuba dilakukan oleh juara dunia lima kali, Lin Dan tidak memadai untuk menyelamatkan tuan rumah.
Walaupun berdepan tekanan ribuan penyokong China di Kompleks Sukan Kunshan, Wan Ho sedikit pun tidak gentar untuk mengetepikan Chen Long 21-12, 16-21, 21-15 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama satu jam, 28 minit.
Kekalahan beregu Fu Haifeng-Zhang Nan kepada pasangan No. 1 dunia, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong 25-23, 21-23, 12-21 menipiskan lagi peluang tuan rumah, namun Lin Dan memberi sedikit harapan apabila merapatkan kedudukan 1-2 selepas menumpaskan Lee Dong Keun 21-10, 21-15.
Mimpi ngeri China akhirnya menjadi kenyataan apabila gandingan Kim Gi Jung-Kim Sa Rang hanya mengambil masa 32 minit untuk menumpaskan beregu tuan rumah, Li Junhui-Zheng Houwei 21-15, 21-18.
Korea Selatan kini akan menentang Indonesia dalam separuh akhir. Indonesia, yang memegang rekod juara terbanyak dengan 13 gelaran mara selepas mengetepikan Hong Kong 3-1.