Kod Etika Kewartawanan seharusnya dikendali media, bukan kerajaan -Geramm

SHAH ALAM: Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata kerajaan sepatutnya menyegerakan penubuhan majlis media yang bebas terlebih dahulu, berbanding kod etika kewartawanan yang dilancarkan hari ini.

Geramm berkata dengan itu, soal kod etika kewartawanan boleh dikendalikan oleh industri media sendiri, bukannya agensi yang seperti Jabatan Penerangan yang terletak sepenuhnya di bawha kerajaan.

“Dalam pelancaran hari ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak daripada media…antaranya Majlis Media Malaysia.

“Adakah majlis itu telah dibentuk melalui akta atau parlimen? Ini kerana kami sebagai sebahagian daripada Majlis Media Protem Malaysia masih menunggu ia dirasmikan.

“Ada juga beberapa perbincangan dalam kalangan jawatankuasa protem yang mempersoalkan jika ia telah disahkan oleh kami, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak,” kata gerakan itu dalam kenyataan hari ini.

Terdapat lapan garis panduan dalam Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan hari ini, yang menurut Fahmi sebagai panduan untuk agensi media menjalankan tugas.

Antaranya berkenaan keperluan wartawan untuk menjadi suara kepada masyarakat majmuk, bersikap telus dan berintegriti dan adil dalam menyampaikan maklumat.

Ia juga menyatakan pemberitaan tidak seharusnya dipengaruhi kepentingan peribadi, kepentingan maklumat yang sahih serta wartawaan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan dasar yang berkaitan, serta keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) pula mempunyai hak untuk membatalkan kad perakuan media.

Mengulas lanjut, Geramm berkata jika kod itu diatur dan dikawal pihak media sendiri, media dapat bergerak secara bebas dan mengelakkan campur tangan politik.

“Apabila media bebas daripada campur tangan kerajaan, ia dapat berfungsi sebagai pemantau, mendedahkan mereka yang berkuasa dan menyediakan rakyat dengan pelbagai sudut pandangan.

“Apabila kerajaan campur tangan, sama ada melalui penapisan, kawalan kewangan atau cara lain, ia menjejaskan peranan penting ini,” menurut Geramm, sambil menambah ia boleh menyebabkan laporan berat sebelah dan penutupan pendapat yang berbeza.

“Kod etika kewartawanan, terutama apabila ia menentukan siapa yang menerima kelayakan media dan dengan itu akses (membuat liputan), tidak seharusnya ditentukan oleh kerajaan,” kata Geramm lagi. -Malaysiakini

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia