Bekas naib juara pertandingan nyanyian Idola Kecil pada tahun 2012 itu berkata, gembira dan teruja kerana dapat berjumpa dengan mereka yang tidak pernah jemu untuk menyokong kerjaya muziknya sebelum ini.
“Saya begitu berpuas hati dan gembira dengan penganjuran majlis yang diadakan ini kerana dapat berjumpa dan beramah mesra dengan mereka semua.
“Tidak dilupakan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak KLI yang begitu bermurah hati untuk menaja majlis perjumpaan ini,” katanya kepada RakyatPost.my baru-baru ini.
Program yang dihadiri sekitar 50 orang peminat itu ditaja oleh pihak hotel Kuala Lumpur International (KLI) yang turut bertindak sebagai penganjur majlis.
Menurut Wan Azlyn atau nama penuhnya Wan Azlyn Maashah, paling menarik pejumpaan yang diadakan itu begitu meriah apabila semua yang hadir begitu mesra seperti sebuah keluarga meskipun tiada pertalian darah.
“Rata-rata yang hadir begitu ‘sporting’ malah mereka turut menyertai acara yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
“Saya juga sedang merancangkan untuk mengadakan majlis perjumpaan seperti ini di negeri kelahiran saya Kedah dalam masa terdekat,” ujarnya lagi.
Selain cabutan nombor bertuah, para peminat Darling turut dihiburkan dengan beberapa buah lagu dari single pertamanya berjudul Takkan Ada.
Sementara itu Eksekutif Jualan dan Pemasaran, Siti Aishah Yahaya berkata, pihak KLI amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menjayakan majlis tersebut.
Penyanyi berbakat besar yang berasal dari Kedah itu sebelum ini tampil dengan lagu duet bersama kumpulan Viral ciptaan komposer, DJ Fuzz.
Walaupun masih lagi bergelar pelajar di Sekolah Menengah Chio Min, Kulim, Kedah, Darling berkebolehan menyanyi dalam 10 bahasa berbeza termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Kantonis, Hokkian, Hindi, Thailand, Jepun, Korea dan Arab.