Istilah ‘Anwar main belakang’ maksud khianat bukan liwat – KJ

Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa bahawa beliau tidak memfitnah Anwar dalam ucapannya tetapi maksud ucapannya hanya metafora dan ia adalah berkaitan kempen Barisan Nasional (BN).

Khairy, saksi pertama dalam kes saman fitnah RM100 juta oleh Anwar terhadapnya, menjelaskan bahawa ucapan itu disampaikan semasa pelancaran jentera pilihan raya Pemuda Umno Bahagian Lembah Pantai di Dataran Angkasa, di sini, pada 19 Februari 2008.

“Ucapan saya itu dibuat semasa kempen BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Feb 2008 dengan plaintif (Anwar) mendakwa saya mengeluarkan kata-kata yang menjadi persoalan.

“Ucapan tersebut mengenai parti politik and tidak merujuk kes Anwar meliwat,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Anwar, J. Leela pada hari pertama pendengaran kes saman itu, pada Isnin.

Khairy menegaskan bahawa niatnya adalah untuk memberi ucapan politik dan kandungan ucapannya pada dasarnya berhubung pengkhianatan antara parti-parti pembangkang.

“Saya bercakap mengenai penggabungan atau kerjasama antara parti-parti pembangkang khususnya Pas, PKR dan DAP untuk tujuan pilihan raya.

“Saya menyifatkan aturan seperti ini berasaskan keperluan atau perkahwinan kontrak yang pada asasnya tidak bertahan lama dan dilakukan untuk hanya mencapai tujuan tertentu bagi tempoh masa sementara,” kata Khairy, selaku defendan.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman fitnah itu dengan mendakwa Khairy,‎ yang ketika itu naib ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari 2008.

Katanya perkataan fitnah dan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di laman web, termasuk dalam portal Malaysiakini.com.

Khairy diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Sarah Abishegam.

Pendengaran kes saman itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan bersambung pada hari ini. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap